Hal –Hal Yang Dibenci Malaikat

Malaikat ialah makhluk mulia yang menyertai kita apabila kita melakukan perkara -perkara yang selari dengan syari’at Islam.

Kita telah mempelajari bagaimana malaikat mengaminkan doa kita, mendoakan apa yang kita doakan, berselawat kepada kita dan melaporkan amal-amal soleh kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Bahkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menerangkan kepada para sahabatnya bahawa seandainya mereka duduk lebih lama bersama beliau atau berzikir, nescaya mereka akan dapat berjabat tangan dengan para malakat yang turut hadir ketika itu. Malaikat tidak menyertai orang-orang yang membuat perkara mungkar seperti mendurhakai Orangtua, memutuskan silaturahim, mengaibkan orang lain, tuduh-menuduh kepada pemimpin, enggan menutup aurat dan berpacaran.

Ada beberapa perkara lain yang secara khusus dibenci oleh malaikat:

Patung Dan Gambar

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada patung dan gambar. [Shahih Muslim, no: 3948/2112].

Patung dan gambar yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah apa yang menyerupai makhluk- makluk bernyawa, baik yang masih hidup atau sudah mati, baik dalam bentuk sepenuhnya atau sebahagian sahaja. Contoh patung ialah piala-piala yang ada pemain beraksi di atasnya, patung-patung hiasan dan anak-anak patung yang disimpan oleh orang dewasa.

Contoh gambar pula ialah lukisan manusia dan hewan, baik lukisan berwarna atau hitam putih, sama ada yang bergantung di dinding atau sekadar hiasan tirai dan baju. Malaikat tidak masuk kerana mereka membenci patung dan gambar.

Manusia yang membuat patung dan gambar untuk meniru makhluk-makhluk yang Allah cipta dan ini sudah tentu satu kesalahan yang besar. Pengecualian diberikan kepada anak-anak patung yang dijadikan mainan oleh kanak-kanak (bukan orang dewasa).

Mulut Busuk Malaikat terganggu dengan mulut yang berbau busuk

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengingatkan: Sesiapa yang makan bawang merah, bawang putih atau bawang bakung (bebawang yang bunganya warna putih, Crinum defixum), maka jangan sekali-kali dia mendekati masjid kami kerana sesungguhnya para malaikat terganggu (dengan baunya) sebagaimana juga manusia (terganggu dengan baunya). [Shahih Muslim, no: 876/564] Oleh itu sesiapa yang makan bawang hendaklah terlebih dahulu membersihkan mulut sebelum memasuki masjid.

Jika dengan bau bawang malaikat sudah terganggu, bayangkan jika mulut seseorang itu busuk dengan bau rokok. Pasti para malaikat tidak akan mendekatinya.

Isteri Yang Enggan Bersama Suami

Apabila seorang isteri diajak oleh suami untuk bersama lalu ajakan ini ditolak oleh isteri tanpa alasan yang munasabah, maka isteri akan dilaknat oleh malakat dari malam itu sehinggalah ke pagi.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menegaskan: Jika seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur (untuk berhubungan seks) lalu dia (isteri) menolak dan malam itu suami marah kepadanya, maka para malaikat melaknat isterinya sehingga pagi. [Shahih al-Bukhari, no: 2998/3237] Berbeda jika isteri memiliki alasan yang munasabah seperti sedang haid atau tidak sihat, maka malaikat akan memaafkannya.

Muslim Saling Bergaduh

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengingatkan: Sesiapa yang mengacukan besi (yakni pedang, tombak atau senjata) kepada saudara semuslimnya, maka para malaikat akan melaknatnya sehingga dia menurunkannya kembali, meskipun dia saudara seayah dan seibu. [Shahih Muslim, no: 4741/2616] Pengecualian diberikan jika mereka mengacukan senjata sebagai latihan meningkatkan ketangkasan dan kehandalan, maka ia dimaafkan oleh para malaikat.

Mencela Para Sahabat Nabi

Para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ialah mereka yang hidup bersama baginda. Mereka telah mengorbankan keluarga, nyawa dan harta untuk sama-sama membina serta menyebarkan Islam.

Sayang sekali, ada yang berburuk sangka kepada para sahabat ini. berdasarkan kisah-kisah sejarah tidak benar yang disebarkan oleh musuh-musuh Islam. Lalu tanpa disedari mereka mencela para sahabat, padahal Rasulullah telah memberi amaran: Sesiapa yang mencela para sahabatku, maka baginya laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia. [Riwayat al-Thabarani, Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, no: 2340]

(Sumber:hafizfirdaus.com)

0Shares